Ketua Chef Fatin Kitchen, Hassan Abdullah bergambar di Fatin Kitchen, Setapak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Hilang pekerjaan ekoran penularan wabak Covid-19 pasti menjadi mimpi ngeri buat sesiapa sahaja. Namun hilang dua pekerjaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan bermula Mac lalu cukup menguji kesabaran lelaki ini.

Hassan Abdullah, 60, berdepan situasi getir itu gara-gara majikannya tidak lagi mampu meneruskan operasi untuk membayar gaji pekerja dan lebih menyedihkan mendapat berita diberhentikan kerja hanya menerusi pesanan mesej Whatsapp.

Bapa kepada enam anak ini berkata, walaupun terkilan, dia menerima takdir itu dengan reda dan percaya kepakarannya sebagai chef mampu mendapat pekerjaan lain.

Hassan yang memiliki pengalaman bekerja dalam industri perhotelan, restoran dan katering lebih 40 tahun lalu selalu mengingatkan dirinya, selagi manusia bernafas, mereka memerlukan makanan dan tugas chef tetap diperlukan.

Ketua Chef Fatin Kitechen, Hassan Abdullah (tengah) bergambar bersama kakitangannya yang merupakan bekas pekerja hotel di Setapak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2020.

Dua bulan tidak bekerja pada April lalu, Hassan yang pernah menjadi chef Tabung Haji pada musim haji sebanyak tujuh kali terpaksa berjimat-cermat dalam perbelanjaan harian apatah lagi memiliki tiga anak yang masih bersekolah.

“Pada mulanya diberhentikan kerja, saya rasa kecewa apatah lagi tidak mendapat sebarang pampasan kerana sekurang-kurangnya dapat bernafas sedikit selain telah berkhidmat sudah lama hingga restoran itu menjadi maju.

“Tapi saya berfikiran positif kerana rezeki Allah SWT luas dan saya ada kepandaian memasak di mana semua manusia perlu makan setiap hari.

“Cuma dua bulan tidak bekerja agak tertekan kerana banyak perbelanjaan perlu dijimatkan dengan tidak lagi makan di luar bersama keluarga.

“Saya juga bersyukur kerana mempunyai simpanan namun perlu berhati-hati kerana jumlah semakin susut,” katanya yang pernah bekerja di hotel ternama antaranya PJ Hilton, Kuching Hilton Hotel Istana dan Park Royal.

Ketua Chef Fatin Kitchen, Hassan Abdullah melakukan kerja hariannya di Setapak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2020.

Dua bulan menganggur, Hassan ceria dan bersyukur apabila dia kembali ke dapur dengan menjadi chef di sebuah restoran.

Namun keseronokan tidak bertahan lama kerana majikan baharu itu juga berdepan masalah kewangan. Ini kerana kata Hassan, dia berdepan potongan gaji dan elaun yang tidak dijanjikan dengan betul.

Namun sinar kebahagian muncul semula buat datuk kepada dua cucu ini apabila dia menjadi Ketua Chef di Fatin’s House di Setapak sejak bulan lalu.

Menyedari masalah yang dihadapi golongan sepertinya, Hassan mengambil bekas pekerja-pekerja hotel bekerja di bawahnya di bahagian dapur berdasarkan pengalaman mereka.

Temubual bersama Ketua Chef Fatin Kitchen, Hassan Abdullah di Setapak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2020.

“Wabak Covid-19 ini memang bahaya namun chef dan pembantu dapur tidak banyak terkesan kerana ada pekerjaan lain yang boleh dilakukan seperti rakan-rakan saya yang meniaga gerai dan foodtruck.

“Cuma nasihat kepada mereka di bidang makanan dan minuman yang dibuang kerja, jangan cepat putus asa. Ini kerana peluang sentiasa ada.

“Namun saya akui golongan chef terutamanya sudah biasa mendapat gaji besar dan tidak berminat dengan gaji kecil serta sanggup duduk di rumah ketika ini.

“Prinsip hidup saya biar dapat RM1 daripada kosong pada hujung bulan nanti dan percayalah industri makanan sentiasa ada dan tidak mati,” katanya yang pernah pergi keluar negara untuk menimba pengalaman.

Antara menu hidangan, Mix Platter yang terdapat di Fatin Kitechen, Setapak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2020.

Bercakap mengenai ‘rumah baharunya’, Hassan berkata, Fatin’s House menetapkan visi perkhidmatan setaraf hotel namun harga yang mampu dibayar oleh semua lapisan masyarakat.

Jelas beliau, mungkin ada yang terkejut mendapati harga menu di restoran itu bermula RM8 manakala menu istimewa iaitu Lamb Mixed Plate hanya berharga RM20 berbanding restoran lain iaitu RM40.

Katanya, antara menu lain yang kini menjadi pilihan pelanggan antaranya Mongolian Lamb, Rendang Rusa dan Asam Pedas.

“Pada sebelah malam, kami turut menyediakan gerai untuk menu seperti mee goreng dan kuey teow goreng dan mee rebus untuk mereka yang menggemari menu yang ringan.

“Kami juga mengadakan majlis keraian di sini yang mampu memuatkan 120 tetamu dalam satu masa memandangkan suasana yang tenang dan luas serta kemudahan parkir yang mudah,” katanya.

Ditanya sampai bila dia mahu menjadi chef, Hassan terdiam seketika sebelum menyambung jawapannya selagi terdaya ‘berperang’ di dapur.

Sementara itu, orang ramai yang ingin bertanya lebih lanjut mengenai Fatin’s House boleh menghubungi +6016224487 atau layari Facebook: fatinkitchenofficial atau Instagram: fatinkitchenhq. – MalaysiaGazette

Sebahagian pelanggan menikmati hidangan yang terdapat di Fatin Kitchen, Setapak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2020.