Gangguan bekalan air di 998 kawasan di Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah pulih sepenuhnya pada 6 petang ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 38 kawasan di wilayah Sabak Bernam, Selangor akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 16 jam bermula pukul 10 pagi, 16 Dis ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata gangguan bekalan air itu disebabkan oleh kerja-kerja penggantian enam unit injap di Jalan Besar Belia, Sungai Panjang dan pemasangan satu injap baharu di Parit 13, Sungai Panjang.

“Pelaksanaan kerja-kerja ini akan membolehkan sistem pengagihan bekalan air sentiasa berada dalam keadaan optimum. Penambahbaikan infrastruktur injap ini juga adalah sebahagian usaha Air Selangor dalam meningkatkan pengalaman perkhidmatan terbaik demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air adalah berbeza mengikut kawasan bergantung pada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

Antara kawasan terlibat ialah Bagan BNO, Jalan Taman Pusara, seluruh Pekan Sekinchan, Jabatan Pengangkutan Jalan Sabak Bernam, Simpang Lima Hala Laut, Bagan Sungai Besar, Pantai Redang, Bagan Terap, Balai Polis Sabak, Sungai Haji Dorani, Taman Aman, Taman Bakti, Taman Harmoni, Parit 7 Sungai Leman, Jalan Kalabakan, Pusat Pertumbuhan Sungai Lang dan Pekan Sabak.

Sehubungan itu, Air Selangor menasihatkan pengguna yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual itu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com atau rujuk kesemua saluran komunikasi rasmi syarikat itu seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.- BERNAMA