Suspek dalam keadaan mabuk mengamuk dengan pisau pemotong daging dan tukul besi dan cuba menyerang polis sehingga membawa kecederaan ringan dicekup polis dalam kejadian 2 pagi ini di Damansara Damai Petaling Jaya.

PETALING JAYA – Polis datang untuk membantu tetapi diserang sehingga cedera.

Itu yang didakwa berlaku dan serangan oleh suspek yang mabuk itu dilakukan menggunakan pisau pemotong daging dan tukul besi di kawasan perumahan Damansara Damai awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian bermula selepas anggotanya bertindak atas aduan orang ramai mengenai kes orang mengamuk.

Dua anggota polis terdiri daripada Koperal Elada Erix Anak Lamit dan Koperal Patrik Fernandez Anak Satalin dari Balai Polis Sri Damansara pergi menjalan tugas di kawasan berkenaan.

“Sampai ke lokasi, apabila polis cuba memanggil penghuni rumah itu, seorang lelaki warga tempatan disyaki suspek tiba-tiba membaling pinggan kaca ke arah polis.

“Tindakan suspek mengakibatkan Elada Eric mengalami luka di bahagian siku dan dalam masa yang sama suspek berusia 48 tahun itu turut memegang sebilah pisau pemotong daging dan tukul besi di kedua-dua tangannya sambil cuba menyerang polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nik Ezanee, keitka itu juga suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat yang berbaur penghinaan terhadap anggota polis.

Akhirnya, polis berjaya menangkap suspek sebelum berlaku sedikit pergelutan kerana suspek bertindak agresif semasa tangkapan dibuat.

“Polis berjaya merampas pisau dan tukul besi dari suspek. Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lebih daripada lima kes jenayah dan dadah.

“Kedua-dua anggota polis mengalami kecederaan ringan di bahagian siku dan lebam di beberapa bahagian anggota badan dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – MalaysiaGazette