Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Ramai melihat keputusan Mahkamah Tinggi semalam menolak tuntutan saman Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim seolah-olah membuktikan Ahli Parlimen Baling itu menerima rasuah daripada pemaju terowong dasar laut.

Ia merujuk kepada kepada keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berkenaan kes saman beliau ke atas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO tampil memberi penjelasan supaya orang ramai tidak terjerumus ke dalam lembah fitnah baharu.

“Keputusan ini dibuat kerana mahkamah beranggapan bahawa Guan Eng tidak pernah membuat tuduhan rasuah ke atas saya.

“Saman tuntutan saya kepada Guan Eng adalah berasaskan kepada kenyataan yang dibuat oleh beliau yang mendesak supaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menangkap dan menyiasat saya atas tuduhan rasuah.

“Pihak Guan Eng juga telah menyebut dengan jelas bahawa SPRM telah bertindak double standard kerana saya mempunyai hubungan baik dengan SPRM yang menyebabkan saya tidak ditahan,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Jelasnya lagi, pihak Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (kontraktor terowong) melalui peguamnya telah mengesahkan beliau tidak pernah menerima rasuah dan permohonan maaf telah dibuat oleh syarikat tersebut kepadanya berkaitan dakwaan berkenaan setelah menyedari beliau adalah mangsa penjualan nama.

Menurutnya, keputusan perbicaraan itu tidak pernah membuktikan beliau ada menerima rasuah daripada mana-mana pihak dan perkara itu telah disahkan oleh pihak SPRM sendiri.

“Meskipun saya gagal di peringkat Mahkamah Tinggi namun saya akan memfailkan permohonan rayuan di Mahkamah Rayuan kerana saya percaya bahawa terdapat unsur defamation di dalam ucapan Guang Eng bagi mengaitkan saya di dalam perbuatan rasuah.

“Serangan bertalu-talu RBA (Red Bean Army) ke atas saya hari ini adalah bukti bahawa unsur tersebut wujud,” tegasnya.

Justeru, beliau ‘berpesan’ kepada pihak yang membuat tuduhan agar terus membuat serangan dan senang baginya membawanya sebagai bukti  di Mahkamah Rayuan kelak.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Terowong dasar laut: Mahkamah tolak saman Azeez terhadap Guan Eng