Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) berharap skim perkhidmatan pekerja lantikan kontrak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setimpal dengan fungsi dan tugas yang akan dilaksanakan.

Presidennya Adnan Mat berkata, dengan pertambahan 8,000 kakitangan kontrak seperti yang diumum Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun maka diharap pelbagai lagi program dapat dilaksanakan selain mengurangkan bebanan pekerja sedia ada.

“Dalam masa yang sama Ceupacs berharap skim perkhidmatan pekerja lantikan kontrak ini setimpal dengan deskripsi kerja yang akan dilaksanakan oleh mereka kelak.

“Hal-hal kebajikan juga tidak diketepikan dan pastikan mereka ini tetap mendapat keistimewaan yang dimiliki oleh penjawat awam lain. Sekiranya ada kekosongan untuk jawatan tetap, berikanlah keutamaan untuk mereka ini memasuki perkhidmatan secara tetap berdasarkan pengalaman mereka berkhidmat. Jangan disia-siakan pengalaman dan khidmat mereka,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam Rina berkata, 8,000 penjawatan kontrak JKM akan ditambah awal tahun depan sebagai langkah menstrukturkan semula JKM bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia lebih-lebih lagi semasa krisis pandemik Covid-19 ketika ini.

Tambahnya, ketika ini hanya ada 3,000 kakitangan JKM yang bertugas di lapangan untuk memberi khidmat kepada 32 juta penduduk Malaysia.

Jelas Adnan ini bererti satu petugas memberi khidmat kepada kira-kira 10,000 rakyat Malaysia.

Justeru beliau turut menyifatkan langkah menstruktur semula JKM bagi menyantuni golongan sasar terutama ketika pandemik Covid-19 adalah langkah yang tepat dan wajar disokong oleh semua pihak.

“Pembangunan sosial seharusnya selari atau seiring dengan pembangunan ekonomi. Sekiranya salah satu daripadanya ditinggalkan, ia akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak seimbang dari sudut sosial dan ekonomi,” tambah beliau. – MalaysiaGazette