Azarul Nazarith Azhar.

KUALA LUMPUR – Skuad Terengganu FC (TFC) terus bernafsu membeli pemain baharu apabila mengikat seorang lagi pemain muda berusia 22 tahun, Azarul Nazarith Azhar bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bekas pemain FELDA United kelahiran Kuala Lumpur yang diikat kontrak setahun itu adalah pemain baharu ketujuh disambar skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain.

Menerusi kenyataan TFC hari ini, pemain itu bakal mengisi posisi pertahanan kiri selain mampu beraksi di bahagian sayap.

“Pemain ini melakukan 11 penampilan bersama pasukan The Fighters musim ini selain mendapat panggilan untuk menganggotai skuad bawah 22 tahun kebangsaan.

“Apa yang kita harapkan pemain itu mampu memikul tanggungjawab di posisi berkenaan lebih-lebih lagi TFC bakal bersaing dalam kancah Piala AFC selain Liga M musim depan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, TFC sudah mengikat kontrak tiga pemain kelahiran Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Mohamad Hakimi Abdullah.

Kehadiran Azarul dijangka memberi saingan sengit kepada pemain sedia ada yang beraksi di posisi berkenaan, Arif Fadzilah Abu Bakar. – MalaysiaGazette