Pulau Langkawi dibuka kepada pelancong mulai 16 September 2021 dengan pematuhan SOP yang ketat.

ALOR SETAR – Industri pelancongan di Kedah kembali rancak apabila jumlah pelancong ke negeri ini mencatatkan peningkatan yang positif sebaik kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri pada 7 Dis lepas.

Pengurus Kedah Tourism Nor Azlan Fitri Abdul Razak berkata peningkatan jumlah pelancong itu dapat dilihat hasil kajian yang dilakukan oleh pihaknya di beberapa daerah antaranya Kota Setar, Kuala Muda, Yan, Baling, Kulim dan Langkawi.

“Hasil kajian oleh Kedah Tourism, kita dapati berlaku peningkatan permintaan pada hotel-hotel di beberapa daerah tetapi yang paling mendapat sambutan ialah di Pantai Chenang, Langkawi. Minggu ini, jumlah pelancong ke Langkawi mendadak selaras dengan penambahan trip feri dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis.

“Kita juga dapati rata-rata pelancong yang datang ke Kedah adalah dari Pulau Pinang, mungkin kerana tempat pelancongan di kawasan mereka masih banyak yang belum dibuka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Nor Azlan Fitri berkata peningkatan jumlah pelancong terutamanya di Langkawi itu juga didorong dengan promosi hebat dan menarik yang ditawarkan oleh pemilik-pemilik hotel di pulau berkenaan.

“Banyak promosi yang dilakukan oleh pemilik hotel bagi menarik pelancong datang menginap di tempat mereka sebab itu Kedah Tourism ada meminta supaya pemilik hotel kekalkan harga promosi sehingga Mac tahun depan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Langkawi dan juga tanah besar.

“Kalau tiada halangan untuk merentas negeri lagi selepas ini, kita jangka jumlah kemasukan pelancong dapat dikekalkan. Ini merupakan perkembangan positif buat sektor pelancongan negeri ini dan kita sedang mengumpul data untuk melihat trend kemasukan pelancong terutama ke Langkawi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut mengadakan program ‘Roadtrip Jom Mai Kedah’ dengan kerjasama lima penggiat YouTube dari luar negara bertujuan membantu memperkenal serta mempromosikan Kedah sebagai destinasi pelancongan di negara masing-masing bermula semalam.

“Program anjuran Kedah Tourism itu melibatkan peserta dari Jerman, Portugal, Kanada, Amerika Syarikat dan Filipina…mereka telah memulakan pengembaraan di Kota Setar, Yan, dan Kuala Muda manakala hari ini diteruskan di Baling dan Kulim,” katanya.

— BERNAMA