Datuk Michelle Ong

KUALA LUMPUR – KAJ Development Sdn Bhd (KAJD), pemaju penuh projek Melaka Gateaway memfailkan saman ke atas kerajaan negeri Melaka bagi mencabar notis penamatan yang dikeluarkan ke atas syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif KAJD, Datuk Michelle Ong berkata, notis berkenaan membabitkan penambakan tanah yang diperlukan bagi membangunkan projek mega syarikat itu.

Saman berkenaan menyatakan kerajaan negeri telah melanggar Akta (Pendekatan Sementara) Covid-19 2020 (Akta 829) yang antara lain menghalang penamatan mana-mana projek pembinaan yang terpaksa ditangguhkan sementara bagi mencegah penularan virus tersebut.

Akta berkenaan jelas menyatakan bahawa sebarang penamatan berkaitan pembinaan tidak boleh dibuat sehingga selepas 31 Disember ini, atau mana-mana tarikh lain selepasnya, yang diluluskan akta, mengikut Parlimen Malaysia, ujarnya.

Menurut Michelle yang juga pengasas Melaka Gateway, pada 16 Oktober lalu kerajaan negeri mengeluarkan Notis Tamat kepada konsesi penambakan tanah.

“Konsesi penambakan tanah ini adalah untuk tiga tahun, bermula 4 Oktober 2017 dan kerja pembinaan terpaksa ditangguhkan sejak 18 Mac, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).

“Kami sudah menghantar beberapa permohonan bertulis kepada kerajaan negeri bagi melanjutkan tempoh konsesi penambakan, tetapi tidak menerima sebarang jawapan atau sama sekali tidak dihiraukan,” katanya.

Menurut beliau, KAJD menerima Notis Penamatan yang mendakwa syarikat itu gagal menyiapkan projek terbabit mengikut jadual kerana berlaku penangguhan.

Katanya, semua aktiviti penambakan tanah yang digantung sementara sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac tidak boleh disambung kerana peralatan serta tenaga kerja asing yang digunakan masih tidak dapat dibawa masuk ke Malaysia.

“Kerana itu, kami hanya boleh menyambung kerja penambakan tanah apabila semua larangan berkaitan Covid-19 ditarik semula sepenuhnya, dan tiada siapa tahu bila ia akan berlaku.

“Dengan tindakan undang-undang ini, kami harap dapat memiliki tempoh secukupnya bagi membolehkan KAJD menyempurnakan proses penambakan tanah, seperti termaktub dalam perjanjian tiga tahun itu,” katanya.

Michelle menambah, terdapat tiga pulau yang akan diwujudkan sebaik sahaja proses penambakan semula tanah itu selesai, yang akan membentuk pelabuhan mega Melaka Gateaway.

Selain menempatkan terminal kapal persiaran terbesar Malaysia serta hab utama minyak dan gas, kawasan itu juga akan dilengkapi dengan zon ekonomi eksklusif dan kemudahan pelancong.

Model projek Melaka Gateway 

Melaka Gateway adalah projek pembangunan komersial syarikat swasta seluas 246.4 hektar yang terdiri daripada tiga pulau baharu dengan dua daripadanya adalah buatan manusia.

Ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025. – MalaysiaGazette