KUALA LUMPUR – Selepas digunakan secara meluas di Lembah Klang dan Selangor, pas perjalanan tanpa had My30 kini diperkenal dan akan digunakan untuk perkhidmatan bas Rapid Penang dan Rapid Kuantan, mulai 1 Jan 2021.
Prasarana memaklumkan Pas Mutiara My30 adalah untuk perkhidmatan bas di Pulau Pinang dan Seberang Prai, manakala Pas Lestari My30 untuk perkhidmatan bas meliputi bandar Kuantan, Pekan dan kawasan sekitarnya.
“Dengan pengenalan kedua-dua pas perjalanan tanpa had ini, Prasarana berharap akan membantu mengurangkan perbelanjaan rakyat untuk urusan pengangkutan harian dan lebih ramai akan menggunakan kedua-dua perkhidmatan bas ini,” kata Prasarana dalam satu kenyataan hari ini.
“Menggunakan konsep yang sama, warga tempatan boleh menggunakan perkhidmatan bas Rapid Kuantan beberapa kali sehari dengan berbelanja RM30 sebulan untuk Pas Lestari My30,” menurut kenyataan itu selain menambah kedua-dua pas tersebut perlu mempunyai nilai baki kad RM5 untuk urusan pendaftaran.
Prasarana berkata bayaran RM5 akan dikenakan untuk pendaftaran pembelian kali pertama dengan tambahan RM5 sebagai harga kad berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan pembelian kali pertama adalah RM40, dan selepas itu pengguna hanya berbelanja RM30 untuk pembelian semula.
Pas perjalanan tanpa had My30, digunakan dengan meluas oleh para pengguna perkhidmatan Rapid KL di Lembah Klang dan Selangor. – BERNAMA