Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia menguruskan para penghuni Plaza Hentian Kajang bagi melakukan saringan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Hentian Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 29 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan menunjukkan zon merah di Pulau Pinang mengalami pengurangan sejak Ahad lalu.

Sebelum ini zon merah di negeri itu berada pada paras empat daerah berkurangan secara drastik.

Selepas mencatatkan lima daerah dikategorikan sebagai zon merah, hari ini zon merah di negeri itu berkurangan kepada dua sahaja.

Hanya daerah Timur Laut dan Barat Daya sahaja masih berada di zon merah dengan 208 dan 273 kes positif Covid-19.

Tiga lagi daerah sudah mencatarkan dua angka iaitu Seberang Perai Utara dengan 30 kes, Seberang Perai Selatan 39 kes, Seberang Perai Tengah 38 kes.

Selangor pula masih kekal dengan tujuh daerah dikategorikan zon merah, dan masing-masing satu bagi zon kuning dan jingga.

Daerah Klang mencatatkan zon merah tertinggi di negeri itu dengan 3,801 kes diikuti Hulu Langat dengan 1,902 kes.

Daerah Petaling pula terdapat 1,004 kes dan Gombak dengan 415 kes, Kuala Langat 166 kes, daerah Sepang 121 kes, dan Kuala Selangor 158 kes.

Hulu Selangor berada di zon jingga dengan 32 kes dan Sabak Bernam hari ini mencatatkan cuma 6 kes di zon kuning.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih mencatatkan kesemua mukimnya di zon merah dengan 944 kes di Lembah Pantai, 230 kes di Kepong, 409 kes di Cheras dan 384 kes di Titiwangsa.

Zon merah di Sabah pula berkurangan kepada 12 kes dengan kes positif di Pitas berkurangan kepada 39 kes, hari ini.

Kota Kinabalu masih tinggi kes positif Covid-19 dengan 1,180 kes, Lahad Datu 833 kes, Sandakan 577 kes, Tuaran 438 kes, Penampang 399 kes, Tawau 320 kes, Putatan 118 kes, Kota Belud 74 kes, Kudat 70 kes, Papar 69 kes, dan masing-masing 56 kes di Keningau dan Semporna.

Johor masih mencatatkan empat zon merah dengan pertambahan kes di Batu Pahat (558 kes), Johor Bahru (428 kes), Muar (81 kes), dan Kulai 52 kes.

Perak dan Kedah masing-masing mempunyai dua zon merah di Hilir Perak 466 kes, Kinta 141 kes dan Kulim 129 kes serta Kota Setar 49 kes.

Pasir Putih di Kelantan mencatatkan 71 kes, Seremban, Negeri Sembilan 1,512 kes dan Bentong, Pahang dengan 380 kes.

Perlis masih mencatatkan satu kes di Kangar, Terengganu dan Melaka.

Sementara Sarawak bakal dikategorikan sebagai negeri bebas Covid-19 sekiranya dua kes masing-masing satu kes di Kuching dan Serian sembuh dan tiada kes baharu dalam masa 14 hari. – MalaysiaGazette