Jenazah tokoh ekonomi dan pendidikan negara, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dibawa oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara. foto MOHD ADZLAN, 15 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Jenazah Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam pada pukul 9.40 malam ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail selepas solat Isyak sebelum tiba di kawasan tanah perkuburan di sini.

Suasana pilu jelas terasa apabila hujan mula berhenti selepas turun lebat sebelum itu.

Upacara pengebumian juga berlangsung ringkas bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ketika ini.

Kelihatan hanya ahli keluarga dan beberapa rakan Allahyarham yang berada di tanah perkuburan.

Isteri Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, Rahaiah Baheran menabur bunga diatas pusara suami beliau selepas selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara. foto MOHD ADZLAN, 15 DISEMBER 2020.

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali yang ditemui berkata, negara bukan sahaja kehilangan tokoh akademik terbilang namun individu yang begitu komited memperjuangkan isu rakyat seperti pendidikan dan kemiskinan terutama di kalangan orang Melayu.

Ahli Jawatankuasa Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA), Azhari Ismail pula berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat memberi pengiktirafan tertinggi kepada Ungku Abdul kerana jasanya yang besar kepada umat Islam di negara ini.

Jelas beliau, sebagai pencetus idea kepada penubuhan Tabung Haji, umat Islam mampu menunaikan rukun Islam kelima dengan membuat simpanan dengan agensi itu.

“Bayangkan berapa banyak jasa arwah kepada umat Islam hingga dapat menunai haji dengan membuat simpanan awal sebagai langkah perancangan jangka panjang,” katanya.

Selain Tabung Haji, Ungku Abdul Aziz juga merupakan pencetus idea kepada Pusat Asasi Universiti Malaysia untuk membantu golongan miskin.

Ungku Abdul Aziz meninggal dunia di Hospital Prince Court di sini kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 98 tahun akibat sakit tua.

Ungku Abdul Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922 merupakan seorang tokoh yang paling disegani terutamanya dalam bidang pendidikan.

Selain itu, beliau juga adalah seorang ahli ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada agama, bangsa dan negara. Beliau pernah memenangi Hadiah Budaya Asia Fukuoka IV pada tahun 1993.

Beliau dianugerahkan gelaran Profesor Diraja Ekonomi (Pembangunan Luar Bandar) pada 17 Jun 1978.

Pada 21 Julai 2002 beliau telah dianugerahkan Tokoh Koperasi Negara sempena Hari Koperasi Negara.

Allahyarham merupakan bapa kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.