Persekutuan Pekilang -Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan mengenakan levi RM10,000 bagi tempoh tiga tahun, dan bukannya meminta majikan membayar jumlah itu setiap tahun untuk melanjutkan khidmat pekerja asing mahir mereka.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengkaji semula cadangan syarat baharu yang menetapkan syarikat dibenarkan menggaji pekerja asing dengan membayar penghantaran balik pendatang tanpa dokumen yang berada di depot imigresen, menurut Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).

Pertubuhan itu memohon kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan yang relevan untuk mencari penyelesaian lebih berkesan bagi menangani kekurangan tenaga kerja yang dihadapi beberapa industri pada masa ini.

Presiden, Tan Sri Soh Thian Lai berkata pihaknya menyambut baik pengumuman kerajaan untuk membantu mengatasi kekurangan sedia ada dengan pekerja asing baharu dari negara sumber.

“(Bagaimanapun), kami berpandangan syarat yang dikenakan ke atas kelonggaran ini amat ketat dan majikan perlu mengeluarkan kos kewangan yang besar dalam keadaan pemulihan perniagaan bagi industri selain pematuhan pengawalseliaan lain ke atas penggajian pekerja asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selain syarikat-syarikat besar, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga perlu dibenarkan untuk membawa masuk pekerja asing memandangkan syarikat yang lebih besar memerlukan sokongan PKS dalam rantaian bekalan mereka untuk menggerakkan operasi.

Industri tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk menanggung kos penghantaran balik pekerja asing tanpa izin yang memasuki negara ini melalui saluran haram, katanya.

“Majikan tidak bertanggungjawab bagi kesalahan tinggal secara tidak sah yang dilakukan pekerja ini usteru, tidak harus dibebani dengan penghantaran balik mereka.

“Ini memandangkan pihak yang membawa masuk pekerja asing melalui saluran yang betul sudah membayar jaminan bank di antara RM250 dengan RM1,500 bagi setiap pekerja (untuk menanggung kos penghantaran balik sekiranya pekerja melarikan diri),” katanya.

Soh berkata, mengenakan syarat tambahan kepada majikan semasa situasi perniagaan yang mencabar dalam tempoh pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19 akan menjejaskan lagi industri yang telah mengalami banyak kekangan kos lain serta masalah buruh dalam proses pemulihan perniagaan mereka.

Beliau berkata, di samping industri menyokong keputusan kerajaan untuk membenarkan pengambilan pekerja daripada kumpulan pekerja asing tanpa izin yang kini berada di depot imigresen yang sesak, amat penting langkah itu diuruskan sebaik mungkin.

“Wujud beberapa akibat buruk daripada proses perundangan seumpama itu. Masih akan ada kecenderungan pekerja-pekerja ini untuk melarikan diri selepas mereka disahkan sebagai pekerja asing berdokumen kerana sistem penjejakan pekerja yang lemah,” katanya.

Beliau berkata, ia akan menggalakkan pekerjaan yang menyalahi undang-undang dalam kalangan pekerja asing yang sah.

“Oleh yang demikian, kerajaan dicadangkan supaya membenarkan pekerja asing ini disahkan mengikut undang-undang dan diberikan semula pekerjaan tanpa sebarang tambahan kos ke atas majikan kecuali bagi kos untuk permit kerja, pasport dan visa.

“Majikan perlu dibenarkan untuk membuat tapisan ke atas mereka sebelum memutuskan untuk mengambil mereka bekerja,” katanya. – MalaysiaGazette