Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberitahu Dewan Rakyat hari ini langkah Fitch Ratings menyemak turun Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ dari ‘A-‘ didorong oleh kesan negatif daripaa pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, biar pun semakan semula itu telah dibuat namun ia mencerminkan peningkatan tinjauan yang lebih baik daripada negatif kepada stabil.

“Kebanyakan agensi penarafan kredit antarabangsa telah pun mengenakan lebih 220 tindakan penarafan negatif sejak awal Mac lalu termasuk tindakan penurunan penarafan kepada lebih 100 buah negara, seperti United Kingdom, Hong Kong, Chile dan Laos.

“Oleh itu, walaupun semakan semula penarafan Malaysia tidak menentang arus penarafan global namun kerajaan telah menyuarakan pendirian rasmi bahawa keputusan tersebut tidak cukup mempertimbangkan keberhasilan pelaksanaan pakej-pakej rangsangan yang telah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) hari ini.

Tengku Zafrul menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang mahu tahu langkah kerajaan menangani keputusan mengejut Fitch Ratings menyemak turun penarafan kredit Malaysia.

Beliau berkata antara pakej-pakej rangsangan itu adalah penguncupan KDNK yang lebih perlahan pada kadar 2.7 peratus pada suku ketiga 2020 – antara terbaik di ASEAN – berbanding 17.1 peratus pada suku kedua, pengekalan lebih 2.8 juta pekerjaan melalui program seperti Subsidi Upah yang membawa kepada kadar pengangguran yang menurun dan stabil iaitu daripada 5.3 peratus pada bulan Mei kepada 4.7 peratus pada bulan Oktober.

Malah katanya, Malaysia telah mencapai nisbah kes Covid-19 berbanding kematian dalam lingkungan 10 peratus terendah di peringkat global.

Ini adalah hasil pelaksanaan langkah yang berkesan dalam membendung wabak tersebut melalui peruntukan kesihatan yang disediakan.

Tengku Zafrul juga berkata, perubahan penarafan itu tidak akan membantutkan usaha Malaysia menuju ke arah pemulihan ekonomi pada tahun depan.

Katanya, inisiatif Belanjawan 2021 akan meneruskan momentum pemulihan dan dijangka menyumbang kepada sasaran pertumbuhan KDNK antara 6.5 peratus hingga 7.5 peratus pada tahun 2021.

“Ramai ahli-ahli Yang Berhormat yang sering mengatakan unjuran ini terlalu optimistik. Namun, Fitch sendiri mengunjurkan pertumbuhan pada kadar 6.7 peratus iaitu sejajar dengan unjuran Malaysia sendiri.

“Institusi lain seperti IMF pula mengunjurkan pertumbuhan sehingga 7.8 peratus, iaitu lebih tinggi daripada unjuran Kerajaan. Ini secara amnya menunjukkan keyakinan terhadap kebolehan ekonomi Malaysia untuk melonjak kembali,” jelas Tengku Zafrul lagi.

Awal Disember lalu, Fitch Ratings telah menyemak turun Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘BBB+’.

Agensi penarafan antarabangsa itu beralasan penurunan nilai IDR disebabkan krisis Covid-19 yang telah menjejaskan beberapa kredit metrik utama Malaysia termasuk langkah kerajaan menangani pandemik dengan bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan yang meningkatkan bebanan fiskal. – MalaysiaGazette