Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Daerah Klang menjadi penyumbang tertinggi kes Covid-19 apabila sebanyak 301 jangkitan daripada 503 kes yang dilaporkan di Selangor semalam.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKNS) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, sebanyak 274 kes dikesan di mukim Klang manakala sebanyak 27 lagi di mukim Kapar dengan 204 daripadanya melalui saringan pekerja.

Hulu Langat pada kedudukan kedua merekodkan 52 kes iaitu mukim Kajang (29), Cheras (10), Ampang (enam), Beranang (empat) dan Semenyih (tiga).

“Petaling mencatatkan 44 kes dengan 33 daripadanya di mukim Damansara, Petaling (enam) dan Sungai Buloh (lima) manakala 41 kes di Sepang dilaporkan di mukim Dengkil,” katanya.

Jabatan itu melaporkan sebanyak 25 kes di Kuala Langat, Gombak (19), Kuala Selangor (13), Hulu Selangor (tujuh) dan Sabak Bernam (satu).

Sehingga 12 tengah hari semalam, seramai 283 pesakit negeri ini pulih menjadikan jumlah sembuh sebanyak 14,830 kes, manakala angka kematian kekal 34 orang.

Semalam, sebanyak 1,772 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh negara. – MalaysiaGazette