Arkib Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah semasa sidang media khas di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 14 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR- Tindakan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mengadakan sidang media bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menolak Belanjawan 2021 sekali gus bergerak menentang keputusan parti tidak sepatutnya berlaku.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Shahril Suffian Hamdan, perkara tersebut tidak boleh dibiasakan atau dijadikan norma baharu dalam UMNO.

Jelasnya, tindakan Ahli Parlimen Gua Musang yang merupakan seorang ahli politik senior dalam UMNO bertaraf penasihat telah mengelirukan pemimpin bawahan dan ahli-ahli mengenai pendirian parti berhubung satu-satu isu.

Tindakan itu juga tidak menghormati disiplin parti yang memutuskan untuk menyokong Belanjawan 2021 dan beliau juga tidak menghormati parti dengan mengadakan sidang media politik bersama pemimpin besar parti lawan.

“Soal setuju dan tidak setuju sesuatu dasar atau pendekatan adalah lumrah dalam mana-mana organisasi. Boleh suarakan pandangan pada saluran sebetulnya.

“Jika mahu suarakan terbuka di media sekali-sekala pun barangkali boleh diterima. Ahli politik mana yang tak kadang-kala sedikit “nakal”? Ahli politik mana yang tidak ada pendirian tertentu?

“Itu perkara biasa dan mewarnai pentas politik mana-mana negara dan parti.

“Tetapi apabila terang-terang mengumum dan mengajak ke arah sesuatu tindakan dasar tanpa izin parti bertentangan dengan parti – itu cerita lain.

“Ini bukan lagi sekadar spekulasi atau cakap-cakap belakang ditambah gula, garam secukup rasa sehingga kesahihan diragui. Ini tindakan politik terbuka di khalayak ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas Shahril, UMNO hendaklah merancang langkah seterusnya dalam memastikan disiplin dan keutuhan parti dihargai serta dihormati.

“Ramai yang menegur kami barisan kepimpinan untuk kurangkan kenyataan bercanggah antara satu sama lain. Saya menginsafi teguran tersebut.

“Barangkali penasihat yang jauh lebih luas pengalaman dan kebijaksanaan beliau berbanding saya juga tidak terlepas dari kekhilafan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Pandangan legen yg nmpak cara pntadbiran skrng yg dipenuhi dgn rasuah utk sokongan jwatan… Utk kebaikan rakyat sehalusnya MP2 berlapang dada dn menerima cadangan dr legend utk mmebngunkan negara dgn kerajaan perpaduan

Comments are closed.