Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah apabila dipilih sebagai rakan kongsi kepada UNICEF sekaligus menjadi kelab yang pertama Asia bekerjasama dengan sebuah organisasi terkemuka dunia itu.

KUALA LUMPUR – Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah apabila dipilih sebagai rakan kongsi kepada UNICEF sekaligus menjadi kelab yang pertama Asia bekerjasama dengan sebuah organisasi terkemuka dunia itu.

UNICEF merupakan sebuah badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi bantuan kemanusiaan dan pembangunan kepada kanak-kanak di seluruh dunia.

Organisasi itu beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat.

Kerjasama itu diumumkan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam sidang media hari ini.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah wakil UNICEF, Dr Rashed Mustafa Sarwar dan Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora.

”UNICEF akan menjadi rakan rasmi kami bagi menghadapi musim 2021.

“Saya merasakan ini merupakan pengiktirafan yang sangat besar untuk bekerjasama dengan salah satu badan organisasi terbesar yang telah banyak melakukan khidmat kemanusiaan di seluruh dunia.

“Saya sangat bangga untuk mengatakan bahawa kami JDT akan menjadi menjadi rakan rasmi untuk bersama-sama berganding tenaga dalam kerjasama yang luar biasa ini,” kata Tunku Mahkota Johor itu.

JDT akan menjalinkan kerjasama dengan UNICEF selama satu tahun dan kini sebaris dengan kelab gergasi dunia seperti Barcelona, Manchester United dan Olympiacos yang pernah dipilih oleh organisasi tersebut.

Menurut Tunku Ismail, kerjasama tidak semestinya melibatkan wang ringgit sahaja tetapi sekaligus akan memupuk kesedaran di antara masyarakat seluruh Malaysia dan menaikkan nama JDT di seluruh dunia.

“Mentaliti saya dan sesetengah pihak dalam negara berbeza. Sebagai contoh, semua kelab boleh menandatangani pemain bola sepak tetapi bukan semua kelab mendapat pengiktirafan daripada jenama-jenama terkemuka antarabangsa.

“Kejayaan komersial, jenama dan aset kelab adalah yang pertama. Jikalau kelab tiada duit, kelab tidak dapat menandatangani pemain dan tanpa pemain yang bagus, pasukan tidak dapat mencapai kejayaan di dalam padang,” katanya. – MalaysiaGazette