Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang ahli perniagaan minggu lepas.

Oh Kay Yap, 35, didakwa menyerang Pat Wen Liang, 31, menggunakan sebuah kereta dengan niat mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa di lokasi mengambil penumpang Grab di Terminal Bersepadu Selatan di Cheras pada kira-kira 9.30 malam 9 Dis lepas.

Oh, yang mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib, didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon agar mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, Mahyon menerusi budi bicara mahkamah membenarkan Oh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta mengarahkan dia melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan.

Beliau menetapkan 8 Jan tahun depan sebagai sebutan kes.

— BERNAMA