BUTTERWORTH – Seorang paderi warga Korea yang bisu dan pekak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul dua lelaki Orang Kurang  Upaya (OKU), tujuh tahun lalu.

Jee Jon Hoon,55, dituduh atas dua perbuatan mencabul termasuk memeluk dan mencium  dua mangsa yang juga bisu dan pekak dengan niat untuk mencabul kehormatan mereka, masing-masing berusia 27 dan 26 tahun.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah pangsapuri di Kampung Paya di sini pada 12.20 tengah malam, Oktober  2013 dan pada 11 malam hingga 1 pagi, Julai 2017.

Pertuduhan dikemukakan menurut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana -mana  dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Majistret M. Kalaiarasi menetapkan 18 Jan ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan jurubahasa Korea dan jurubahasa isyarat antarabangsa.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh pada prosiding hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlin Zeti Zainol Abidin manakala tertuduh diwakili peguam G. Shanmugam.

— BERNAMA