Sebuah pusat hiburan yang beroperasi dan melanggar PKPB semalam berjaya diambil tindakan termasuk 73 orang pengunjung tempatan dikompaun RM1000 setiap orang.Foto: IPD Brickfields

KUALA LUMPUR – Akibat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama di sini diserbu polis.

Serbuan dilaksanakan oleh sepasukan pelbagai jabatan itu sekitar pukul 9.45 malam, kata Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar.

Menurutnya, dalam serbuan yang sama, pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pengurus dan penjaga premis.

“Turut ditahan seorang pengunjung lelaki warga China berusia 40 tahun dan seorang wanita warga Vietnam berusia 25 tahun.

“Hasil pemeriksaan, seramai 73 orang pengunjung tempatan yang terdiri daripada 56 orang lelaki dan 17 orang wanita yang berusia 21 hingga 47 tahun didapati leka berhibur tanpa penjarakan fizikal sebagai melanggar peraturan PKPB dan telah dikompaun RM1,000 setiap orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Anuar, tindakan kompaun itu dikenakan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 iaitu terlibat dalam aktiviti terlarang yang dinyatakan seperti dalam jadual akta yang sama.

Beliau turut menegaskan premis ini pernah diserbu dan diambil tindakan sebanyak empat kali oleh polis sebelum ini.

Dalam pada itu kata Anuar, pengurus dan juga penjaga premis turut disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992.

“Manakala pengunjung warga China dan Vietnam tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.  Semua pemilik premis diingatkan supaya mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana tindakan kompaun akan dikenakan kepada sesiapa yang melanggar arahan tersebut,” katanya.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat jenayah boleh menghubungi pihak polis di talian hotline 03-2297 9222. MalaysiaGazette.