Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi yang mengendalikan kes pengubahan wang haram serta pengelakan cukai  Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mencadangkan agar prosiding kes itu  dijalankan di hadapan hakim lain bagi membolehkan kes didengar lebih awal.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat cadangan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Poh Yih Tinn memaklumkan kepada mahkamah akan perkembangan terkini kes rasuah Rosmah berhubung projek solar hibrid untuk sekolah di pedalaman Sarawak yang ditetapkan hujahan lisan pada 10 Feb depan selepas pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 10 Dis lalu.

Terdahulu, Mohamed Zaini yang mendengar kedua-dua kes tersebut, memutuskan untuk memulakan prosiding kes pengubahan wang haram serta pengelakan cukai yang sebelum ini ditetapkan pada Mei, selepas kes rasuah Rosmah selesai.

Mohamed Zaini: Kamu boleh menimbang untuk memindahkan kes ini kepada hakim lain jika kamu mahu memulakan perbicaraan lebih awal.

Poh: Saya perlu merujuk kepada TPR kanan.

Mohamed Zaini: Sila timbangkan, tetapi mahkamah ini tidak ada masalah sekiranya mahu kes tersebut dikekalkan di sini. Kita akan tetapkan pengurusan kes seterusnya pada 25 Feb tahun depan, sementara menunggu pendakwaan menimbang cadangan saya.

Poh: Okey, saya akan bincangkan cadangan itu dengan (TPR Kanan) Datuk Seri (Gopal Sri Ram).

Peguam  Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Rosmah, 69, yang mendapat pengecualian daripada menghadiri prosiding hari ini.

Pada 4 Okt 2018, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Pertuduhan pengubahan wang haram itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta  Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

— BERNAMA