Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada media selepas Istiadat Pengebumian Negara ibunya, Allahyarhamah Tun Rahah Mohd Noah di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Penganugerahan Istiadat Pengebumian Negara kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah sebagai satu penghormatan istimewa.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia merupakan satu kenangan manis buat keluarga Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

“Ia sudah tentu merupakan satu penghormatan yang istimewa.

“Saya percaya ia menjadi kenangan manis kepada keluarga Tun Razak,” katanya ketika ditemui pemberita di Makam Pahlawan, Masjid Negara, hari ini.

Terdahulu, Najib bersama keluarga menghadiri Istiadat Pengebumian Negara Allahyarham Tun Rahah, 87, di Makam Pahlawan, Masjid Negara, hari ini.

Najib menyifatkan bondanya sebagai seorang yang penyayang dan baik hati serta berjaya mendidik kesemua lima adik-beradik walaupun Allahyarham Tun Abdul Razak meninggal dunia ketika mereka masih kecil.

“Bonda saya telah mendidik kami semua dengan begitu sempurna sekali sehingga kelima-lima adik-beradik telah mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

“Di samping itu (bonda) terus merupakan tonggak kepada keluarga kami, walaupun Tun Razak tiada lagi, tapi bonda saya jadi tempat tumpuan kami,” katanya.

Najib juga mengakui pemergian bondanya itu merupakan satu kehilangan kepada beliau sekeluarga, namun beliau redha dengan ketentuan illahi.

“Bagi kita amat sukar kehilangan seorang ibu, sudah tentu kami semua berasa amat sedih tapi kami redha ketentuan ilahi.

“Bonda saya telah melalui kehidupan selama 87 tahun telah mencapai kemuncak dalam hidupnya dan juga telah menyaksikan anak-anaknya membesar dan sedikit banyak merasakan kepuasan apa yang telah kami lakukan,” katanya.

Najib turut berkongsi pengalaman beliau ketika membesar dengan Tun Rahah khususnya semasa menceburi dunia politik walaupun ketika usianya masih muda.

“Sebelum ini bonda saya sentiasa mengingatkan saya untuk menjalankan kerja dengan sebaik-baiknya, dengan penuh dedikasi sebab pada bonda saya nama keluarga itu adalah amat penting untuk terus dipertahankan.

“Walaupun dalam politik memang tidak dapat elak daripada kecaman tetapi lambat-laun kebenaran Insya-Allah akan muncul.

“Belum cukup 23 tahun tapi bonda saya memberi sokongan dan serahkan kepada saya, apa juga keputusan saya buat, bonda saya akan sokong dan beri segala bantuan moral dan kasih sayang untuk saya berjaya dalam politik,” katanya.

Sementara itu, Najib juga menjemput orang ramai untuk turut serta dalam majlis tahlil dan doa selamat yang akan diadakan di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, di sini, sepanjang minggu ini.

“Kita akan ada majlis tahlil pada setiap hari selama seminggu bertempat di Masjid Ar-Rahah jadi orang ramai dipersilakan kalau sudi hadir bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette