Datuk Shafien Mamat

PASIR MAS – Polis Kontinjen Kelantan akan menugaskan Pasukan Polis Marin (PPM) melakukan rondaan di sepanjang Sungai Golok bagi mengawasi sebarang cubaan penyeludupan barangan di sempadan, ekoran kenaikan paras air di sungai berkenaan melebihi paras bahaya sejak malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ini susulan pihak berkuasa bimbang paras air yang meningkat menyebabkan wujud pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, kehadiran PPM akan membantu agensi terlibat termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sentiasa melakukan kawalan dan rondaan di kawasan pintu sempadan yang dinaiki air.

“Kita bimbang ada pihak cuba melakukan kegiatan penyeludupan di musim tengkujuh termasuk barangan berbahaya seperti senjata api ataupun dadah. Dengan bantuan daripada PPM, kita yakin keadaan sempadan akan lebih terjaga dan penyeludupan ataupun jenayah rentas sempadan akan dapat dibendung.

Sebelum ini mungkin ada yang beranggapan musim tengkujuh ini akan membuatkan kegiatan itu berkurangan namun wujud pihak yang cuba mengambil kesempatan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di sebuah pangkalan haram di Rantau Panjang, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah Batalion Ketujuh Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi dan Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohammad Roy Suhaimi Sarif.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, menerusi Op Benteng, pangkalan haram terbabit merupakan antara kawasan yang dikenal pasti aktif dengan penyeludupan barangan.

“Tambahan pula, tinjauan yang dilakukan mendapati paras air Sungai Golok semakin naik serta melebar dan keadaan itu membolehkan kegiatan membawa keluar atau masuk barangan secara haram lebih mudah kerana bot atau perahu milik penyeludup boleh merapati kawasan tertentu dengan mudah.

Justeru, pihak berkuasa akan sentiasa mengawasi keadaan itu walaupun banyak laluan kini tidak dapat dilalui dengan kenderaan. Agensi seperti PGA dan PPM akan sentiasa mengawasi keadaan di sempadan Malaysia-Thailand supaya kegiatan penyeludupan berjaya dibendung,” katanya. – Bernama