Berguni-guni rokok dipercayai rokok seludup ditemui di daam kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki di Lebuhraya Lekas, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan selepas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kajang yang melakukan Operasi Samseng Jalanan dan Pencegahan Jenayah menemui beberapa guni rokok seludup.

Operasi itu dijalankan KM2.7 Lebuhraya LEKAS arah Kajang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata, semasa sekatan jalan raya sedang dijalankan sebuah motokar MPV jenis Toyota Alphard dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan apabila kenderaan itu berhenti sebelum sekatan.

”Polis telah menahan kereta tersebut dan telah membuat pemeriksaan . Hasil pemeriksaan dalam kereta telah menjumpai beberapa guni yang mengandungi pelbagai jenis rokok yang dipercayai rokok seludup,” katanya.

Rampasan itu membabitkan 2,240 karton rokok jenis Gudang Garam Surya, 380 karton rokok Gudang Garam Nusantara Hijau dan 80 karton rokok Gudang garam Nusantara Merah.

Kes telah dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang dan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok disyaki diseludup.

Menurut beliau, sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini dan juga aktiviti penyeludupan seperti ini, boleh berhubung dengan mana-mana balai yang terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Sarjan Mohamad Khir bin Bachok di talian 014-5307540. – MalaysiaGazette