Datuk Shafien Mamat

KOTA BHARU – Polis Kelantan menahan seorang pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kerana disyaki terbabit dalam kes penyelewengan penjualan peluru dalam kalangan pegawai dan anggota pasukan itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia 35 tahun itu dilakukan pada 6.20 petang semalam di Jeli.

Beliau berkata, kes itu dikesan susulan penahanan dua individu termasuk seorang anggota RELA pada 6 Disember lepas.

“Hasil siasatan mendapati dalam keterangannya mengatakan peluru yang dirampas oleh polis dalam kes sebelum ini telah dibeli melalui seorang pegawai RELA,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Shafien berkata, siasatan juga mengesyaki pegawai itu membuat pemohonan permit membeli peluru menggunakan nama pemegang lesen senjata api RELA tanpa pengetahuan anggota pasukan tersebut yang ditahan sebelum ini.

“Setakat ini, ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif dan kini ditahan reman bermula hari ini hingga 24 Disember,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Senjata 1960.

Sebelum ini, polis menahan dua lelaki termasuk seorang anggota RELA kerana meminjamkan senjata api kepada rakannya yang tidak mempunyai lesen berhampiran Jeli pada 6 Disember lepas.

Polis turut merampas selaras senjata api iaitu senapang patah jenis Harrington dan 68 butir peluru hidup serta 46 kelongsong peluru. – Bernama