Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases deaths Malaysia
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan empat juta rakyat di Lembah Klang akan dijangkiti Covid-19 sekiranya kerajaan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan tindakan proaktif dengan melaksanakan PKPB bersasar di Lembah Klang selepas peningkatan drastik Covid-19 di Sabah.

“Pelbagai pihak yang meragui ketika itu kenapa ambil tindakan sebab kita lihat jangkitan akan bermula di Lembah Klang iaitu kita lihat kepadatan penduduk yang tinggi dan juga pekerja-pekerja warga asing yang tertumpu di kawasan tersebut.

“Kalau kita tidak melaksanakan PKPB jangkaan dan unjuran kita akan dapat empat juta penduduk yang akan dijangkiti. Dengan pelaksanaan PKPB kita telah kurangkan kadar kebolehjangkitan (R0) kepada 0.97 peratus setakat ini. Matlamat kita adalah untuk turunkan kepada 0.4 atau 0.5 peratus,” katanya pada sidang media di KKM, hari ini.

PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah serta beberapa lokaliti di negeri-negeri lain dilanjutkan hingga 31 Disember ini.

Tambah Dr Noor Hisham, keadaan di Sarawak semakin baik dengan memperlihatkan kadar kebolehjangkitan adalah pada paras 0.4 peratus sahaja.

“Kita lihat kepada negeri Sarawak keadaan telah bertambah baik satu ketika dahulu Sarawak juga banyak kes-kes jangkitan di pasar, di hospital dan sebagainya hari ini RO adalah 0.4 peratus, jadi kita dapati kalau turun kepada 0.4 peratus maka kita boleh landaikan lengkung,” katanya.

KKM, katanya, telah menggunakan kaedah mencari dan menyaring individu di kawasan-kawasan tertentu bagi mengenalpasti golongan sasaran dan kumpulan tertentu bagi menjalani ujian Covid-19.

Ia dilakukan di sekitar kawasan tapak pembinaan, kawasan kilang bagi mengenalpasti golongan itu.

Malaysia mencatatkan 95,327 kes positif Covid-19 dengan jumlah kes aktif sebanyak 16,466 kes. – MalaysiaGazette