Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hadir bagi mendengar keputusan dalam pertuduhan rasuah RM2 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Nasib Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam pertuduhan rasuah RM2 juta akan diketahui dalam beberapa jam sahaja lagi.

Tengku Adnan yang baharu sahaja menyambut hari lahirnya ke-70 semalam,  sepatutnya sudah mengetahui keputusan  kesnya pada 17 November lepas.

Namun Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan terpaksa menangguhkan keputusan berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 9 November hingga 6 Disember lalu.

Mohamed Zaini akan memberikan keputusan beliau jam 9 pagi ini.

Hanya mereka yang mempunyai pas sahaja dibenarkan mengikuti keputusan tersebut.

Tengku Adnan telah didakwa menggunakan jawatan Menterinya untuk menerima wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB.

Wang tersebut diberikan melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan atau lebih popular dengan panggilan KuNan  itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes itu telah bermula pada 2 Julai tahun lepas dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan antara yang dipanggil termasuk dua bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Kin Kong.

Pada 14 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tertuduh.

Tengku Adnan memberi keterangan bersumpah dari tempat saksi dan prosiding pembelaannya berlangsung selama dua hari iaitu pada 17 Januari dan 5 Mac lepas.

Pada 30 Jun lepas, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil empat saksi memberi keterangan dalam prosiding yang berlangsung selama empat hari bermula 4 Mac.

Tengku Adnan dipanggil sebagai saksi pembelaan pertama manakala pada 7 Disember lepas, Mahkamah Tinggi yang lain melepas tanpa membebaskan Tengku Adnan atas pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas dimaklumkan pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan kes terhadap Tengku Adnan setelah terdapat perkembangan baharu berhubung kes itu. -MalaysiaGazette