Rakaman video acara resepsi perkahwinan Illi Najwa Saddique dan Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab yang cetuskan persoalan.

KUALA LUMPUR –  Kerajaan yakin kontroversi perkahwinan seorang wanita Melayu Islam dari Johor dengan kapten hoki India akan diselesai segera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keyakinan itu dizahirkan selepas Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengeluarkan kenyataan.

“Kerajaan yakin dan percaya, isu ini akan dapat ditangani dalam masa terdekat oleh pihak berkuasa agama negeri Johor sebagaimana dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, sementelahan ia juga mendapat perhatian langsung daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor,” jawab Dr Zulkifli ketika sesi penggulungan Belanjawan 2021 peringkat dasar di Dewan Negara, hari ini.

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dr Zulkifli semalam menasihatkan orang ramai supaya tidak mempolitikkan isu sensitiviti agama, sebaliknya menunggu penjelasan pihak berkuasa agama Johor bagi mengesahkan status perkahwinan rakyat Malaysia beragama Islam di India.

Beliau berkata, Islam menuntut umatnya mengesahkan sesuatu maklumat yang diperoleh sebelum membuat sebarang tanggapan atau pandangan.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli hari ini juga mengajak masyarakat negara ini supaya menjunjung nasihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menitahkan agar JAINJ dan Jabatan Mufti Johor menyiasat status terkini agama wanita berkenaan.

“Saya juga mengajak seluruh umat Islam agar menjunjung nasihat Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor agar tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra-matang dalam berinteraksi dengan berita yang disebarkan.

“Lebih-lebih lagi, ia melibatkan status agama seseorang yang secara tidak langsung menyentuh maruah dirinya,” katanya lagi.

Sultan Ibrahim semalam menitahkan agar siasatan itu dibuat atas dakwaan wanita itu yang dilaporkan berkahwin dengan pemain hoki warga India, minggu lalu.

Baginda bertegas mahu keabsahan agama wanita itu disahkan melalui ahli keluarganya di sini dan menerusi maklumat daripada kedutaan Malaysia di India.

Rabu lalu, Kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar melangsungkan majlis perkahwinan dengan kekasihnya dari Malaysia, Illi Najwa Saddique.

Pasangan itu dikatakan telah menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu.

Majlis resepsi diadakan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.

Manpreet, 28, mengenakan sut perkahwinan punjabi yang lengkap dengan serban, sementara Illi Najwa pakaian pengantin punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.

Kerajaan menerusi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, Illi Najwa akan dipanggil bagi mendapatkan penjelasan berhubung status agama kedua-dua mereka.

Illi Najwa akan dipanggil sebaik sahaja kembali ke Malaysia. – MalaysiaGazette