Barisan pemenang kumpulan penyelidik pingat RISE 2020, UTEM

MELAKA – Kumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkul 10 pingat pada Virtual International Research and Innovation Symposium and Exposition (RISE 2020).

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, UTeM akan terus komited dalam menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi dan kejayaan demi kejayaan dikecapi pada tahun ini.

Katanya, UTeM berjaya memperolehi pencapaian penuh apabila kesemua produk inovasi yang dipertandingkan berjaya merangkul pingat pada RISE 2020 yang berlangsung pada 1 hingga 20 November lalu.

“Daripada 10 pingat yang telah dimenangi, UTeM berjaya merangkul lima pingat emas, empat pingat perak dan satu pingat gangsa, sekali gus memberi gambaran hasil inovasi universiti ini terus diiktiraf diperingkat antarabangsa.

“UTeM telah menetapkan penyertaan bagi penyelidikan yang berkualiti dan memberi fokus kepada kumpulan produk inovasi bagi manfaat masyarakat serta komuniti dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Program anjuran Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) itu disertai oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari dalam negara serta seluruh dunia dengan lebih 250 produk inovasi dipertandingkan.

Pada RISE 2020 versi atas talian itu, lima pingat emas yang dimenangi UTeM antaranya menerusi tiga produk yang terdiri daripada New Concept VIEKC, HiT oK dan UDe HaB diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Yuhazri Yaakob.

Manakala 2 produk lagi adalah ECOCO iaitu The Eco Material for Desiccant Dehumidifier diketuai Norain Idris dan V-Lego block pula diketuai oleh Dr. Norfariza Ab Wahab.

Empat produk inovasi UTeM yang telah berjaya mendapat pingat perak pula adalah A Controllable Transmission Ratio using Single Actuator Double Acting Electro-Mechanical Continuously Variable Transmission System, Biocomposite Filament for 3D Printer, R3 Cut dan Kebat Guni Organik.

Sementara itu, 1 pingat gangsa pula diraih oleh produk inovasi Development of HVAC Virtual Laboratory (HV-LAB ver 1.0); Recirculation Air Conditioning System Training Unit (RACSTU) Using MATLAB/SIMULINK.

Kesemua penyelidik dari UTeM yang menyertai dan memenangi pingat ini adalah merupakan tenaga pengajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).-MalaysiaGazette