Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

KUANTAN – Seorang pekerja kontrak warga Bangladesh maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggangi mereka melanggar kawanan lembu sebelum terbabas ke arah tiang elektrik di Jalan Merapoh-Kem Sungai Relau, Lipis kira-kira 166 kilometer dari sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata kejadian berlaku 10.20 malam, semasa mangsa Md Selim Ali, 28, dan rakannya Shalam Mohammad, 33, dalam perjalanan pulang ke rumah kongsi di Kem Sungai Relau, selepas tamat bekerja.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Md Selim yang menunggang motosikal tidak menyedari sekumpulan lembu berada di tengah jalan, ekoran keadaan yang gelap dengan hanya ladang kelapa sawit di kiri kanan.

“Perlanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik sehingga mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat terkena tiang kerana mangsa difahamkan tidak memakai topi keledar,” katanya kepada pemberita menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Azli berkata Md Selim disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Merapoh manakala Shalam patah tangan kiri dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang, Kelantan untuk rawatan.

Mayat Md Selim dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

Pemeriksaan di lokasi kejadian juga menemukan kesan darah di tiang elektrik serta tompokan najis lembu dan Azli berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA