Tuan Ibrahim Tuan Man

KUANTAN – Kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakan hapus kira pinjaman kerajaan negeri Pahang berjumlah RM2.1 bilion menerusi Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Pahang, kata Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, ia melibatkan pinjaman bekalan air luar bandar berjumlah RM1 bilion dan bakinya ialah novasi pinjaman kerajaan negeri kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang akan membangunkan aset air di Pahang melalui pendekatan bina dan pajak kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

Pembayaran sewa pajak aset air oleh PAIP kepada PAAB  menurut Tuan Ibrahim, akan distruktur semula untuk tempoh 45 tahun pada kadar kompetitif berbanding pembiayaan komersial, iaitu tiga peratus bagi aset sedia ada dan 4.5 peratus untuk aset baharu.

“PAIP akan diberikan moratorium bayaran sewa pajakan selama lima tahun untuk membantu mereka membina asas kewangan yang kukuh sebelum membayar sewa kepada PAAB. Perjanjian ini juga membolehkan rakyat Pahang mendapat perkhidmatan air lebih baik selain mengurangkan kerugian akibat kehilangan air yang dirawat,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu antara Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri  Dr Zaini Ujang, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PAAB, Abdul Hadi Ali dan CEO PAIP Saiful Zaini Mohd Bokhari di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tuan Ibrahim juga memaklumkan bahawa Pahang merupakan negeri kelapan memeterai perjanjian itu yang dipersetujui selepas proses rundingan selama tujuh tahun bermula 2013, dengan Kedah dan Perlis dijangka mengikut langkah sama pada Januari ini.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, tempoh panjang rundingan itu ekoran kerajaan negeri memohon beberapa penambahbaikan dilakukan terhadap beberapa perkara dalam perjanjian itu, sehingga membawa kepada penubuhan pasukan khas bagi memperhalusi perkara itu.

“Manfaat utama ialah baki hutang kerajaan negeri kini lebih kecil, selain rakyat dapat menikmati perkhidmatan air terawat yang lebih efisien dan baik pada masa akan datang, dengan proses penambahbaikan akan dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Wan Rosdy berkata, tempoh 45 tahun pembayaran sewa pajak itu juga membolehkan kerajaan negeri tidak perlu bimbang tentang keperluan menyediakan peruntukan besar untuk menampung kos penyelenggaraan aset air kerana terletak di bawah PAAB, sekali gus membolehkan wang tersebut disalurkan kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. – Bernama