Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau amat keliru dengan perkembangan politik tanah air yang menyaksikan wujudnya pelbagai gabungan seperti Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Menurut veteran politik itu, ini kerana semua pihak tidak boleh menyamakan Barisan Nasional dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, Bersatu wujud hasil mencuri orang UMNO yang mana tindakan tersebut tidak boleh diampunkan sama sekali dan dari segi moral perkembangan itu juga sudah tidak betul.

“Kekuatan mereka adalah dari pencurian, ada menteri yang ada sekarang ini dicuri dari UMNO. Kalau UMNO melutut kepada dia orang tak bolehlah, di mana maruah kita,” katanya semasa menjadi tetamu program Bual Bicara Minda Profesor Negara Mengenai Masa Depan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gua Musang itu mendedahkan pada peringkat awalnya beliau menolak untuk dilantik sebagai penasihat parti kerana ia merupakan bidang kuasa Majlis Tertinggi yang diangkat oleh Perhimpunan Agung UMNO.

“Saya seorang diri apakan daya, lagi pun saya tidak berkuasa memaksa MT menerima pandangan saya,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata, banyak pihak termasuk kaum Cina mengharapkan supaya UMNO menebus semula kekalahan lalu dan kembali berkuasa.

Katanya, hanya apabila UMNO berkuasa semula dapat menyenangkan pemikiran semua pihak dan kegagalan parti itu untuk mengembalikan kuasa pasti akan mengecewakan orang Melayu dan negara terus berada dalam keadaan tidak aman.

Tengku Razaleigh turut menasihatkan UMNO supaya bertegas dalam melakukan reset untuk bangkit semula demi masa depan negara.

UMNO, katanya, mesti memberi peluang serta ruang kepada orang muda dalam proses untuk mengembalikan kestabilan politik serta ekonomi.

“Banyakkan penglibatan orang muda. Cuma hendak reset kena dengan tegas, tidak boleh malu alah dan mesti mementingkan depan. Kalau saya ada peluang saya mahu orang muda mendapat tempat lebih baik pada masa depan,” katanya.

Menjawab satu soalan, Tengku Razaleigh berkata, UMNO telah banyak berkorban demi mewujudkan sebuah negara yang stabil, pesat membangun dan harmoni. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Nampak sgt ideologi lama. Masih amal politik ego. Masih sama mcm kisah Ngah Ibrahim vs Raja Muda Abdullah. Last last yg untung British. Camtu la pemimpin melayu. Nak menang sorak, tak peduli jika kampung tergadai. Kalau tadbir bagus, pedulikan BN atau PN atau MN yg tadbir. Sesama melayu juga.

  2. Betul. Tp anwar kena la tinggal kunyit2 dia dulu. Mat sabu plak masuk kelas bahasa inggeris. Then jd ahli biasa, kasi Rafizi atau muka muka baru plak naik jd pemimpin. Syed saddiq pun sesuai.

Comments are closed.