Para jemaah mengaminkan bacaan doa pada Majlis Tahlil ibu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Allahyarhamah Tun Rahah Mohd Noah di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mengakui dirinya sepi selepas kematian ibunya, Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah.

Ketika ditemui MalaysiaGazette pada majlis tahlil di Kampung Kerinchi di sini malam ini, bekas perdana menteri itu memberitahu, Allahyarhamah bondanya, seorang yang penyayang serta menjadi tonggak kepada keluarga.

“Memang dalam masa seminggu ini terasa sangatlah ketiadaan ibu tersayang. Sebab ibu saya selama ini telah menjadi tonggak kepada keluarga.

“Bonda saya seorang yang amat penyayang dan amat dicintai dan dikasihi oleh semua bukan sahaja ahli keluarga tapi mereka yang mengenali Allahyarhamah,” katanya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, sesiapa sahaja boleh terpikat hati dengan watak lembut yang dimiliki ibunya lebih-lebih lagi Allahyarhamah sangat murah melemparkan senyuman.

Najib Razak mengaminkan bacaan doa pada Majlis Tahlil ibunya, Allahyarhamah Tun Rahah Mohd Noah di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2020.

Disebabkan itu beliau berkata, kehilangan Allahyarhamah sangat dirasai oleh semua bukan sahaja dalam seminggu ini tetapi untuk selama-lamanya.

Najib turut memberitahu, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tidak dapat melupakan peranan dimainkan oleh Allahyarhamah bondanya untuk dijadikan panduan.

Ini kerana kata beliau, bondanya yang pernah menjadi isteri kepada perdana menteri telah banyak mengajarnya tentang kehidupan dan apa yang ditunjukkan oleh Allahyarhamah boleh dijadikan model kepada semua wanita lain.

Dalam pada itu, Najib turut berterima kasih kepada pihak-pihak yang telah mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarhamah ibunya sebagaimana yang dimaklumkan kepadanya.

“Saya difahamkan banyak tempat di masjid-masjid di surau-surau diadakan majlis tahlil bacaan yasin dan sebagainya.

“Mereka mohon kepada Allah supaya roh Allahyarhamah ditempatkan bersama-sama mereka yang solehah. Saya ucap ribuan terima kasih atas usaha yang mereka lakukan dan semoga doa mereka itu dapat diterima oleh Allah dan dimakbulkan…Insya Allah,” ujarnya.

Terdahulu, majlis bacaan yaasin yang diadakan di masjid berkenaan dihadiri lebih 500 jemaah.

Bermula dengan solat Maghrib, orang ramai yang hadir kemudiannya membacakan surah yaasin dan mengadakan tahlil ringkas.

Jemaah kemudiannya bersolat Isyak, disusuli jamuan makan malam. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Semoga DSNR diberi kekuatan senantiasa dirahmati Allah dan dilindungi dimana jua anda juga alloyarhamah di cucuri rahmatnya dan ditempatkan Shurga Al Jannah Aamiin Aamiin ya Rabbal Alamin

Comments are closed.