Jabatan Alam Sekitar

KUALA LUMPUR – Sebuah kilang memproses makanan dan minuman didenda RM90,000 kerana didapati mencemarkan sungai selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 kerana gagal mematuhi had piawai yang ditetapkan di dalam Peraturan-Peraturan yang sama.

Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar pertuduhan pertama adalah syarikat tersebut didapati telah melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai bagi lima parameter di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Manakala bagi pertuduhan kedua, syarikat tersebut juga didapati telah melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai bagi satu (1) parameter di bawah Peraturan 12(b), Peraturan-Peraturan Efluen Perindustrian 2009.

Menurut Nor Aziah, pendakwaan dilakukan Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor dan pihak mewakili syarikat yang dituduh diwakili oleh peguam bela mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor tidak akan berkompromi dengan mengambil penjenayah alam sekitar.

“Saya juga menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,”katanya menerusi kenyataan.-MalaysiaGazette