KUALA LUMPUR – Tiga orang pasukan media penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew terlibat dalam kemalangan di Tol Jalan Duta malam tadi.

Perkara itu disahkan oleh Ebit sendiri menerusi hantaran yang dimuatnaiknya di laman Facebook kira-kira tujuh jam lalu.

Ebit berkata, kemalangan berlaku apabila kereta yang dinaiki pasukan media yang merakamkan program Jejak Ebit Lew Astro melanggar bahu jalan untuk mengelak daripada terlanggar sebuah kenderaan yang membuat pusingan U di ruang yang tidak dibenarkan.

“Tadi kami empat kereta ke Penang membantu abang sekeluarga yang lapan bulan tidur dalam kereta. Semasa sama-sama balik ke KL. Betul-betul lorong kanan Touch N Go lepas Tol Jalan Duta. Tiba-tiba ada kereta dari kiri uturn ke kanan.

“Ada sign (petunjuk) tidak boleh uturn. Estima mereka cuba elak kereta uturn menyebabkan melanggar divider tengah jalan,” katanya.

Ebit berkata, tiga orang pasukan medianya itu sehingga kini masih dirawat di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.

“Sekarang saya di Hospital Gleneagles menanti ketiga-tiga team buat imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan). Doakan semuanya baik dan selamat. Doakan Teyha, Azrin dan Ijad semuanya selamat dan baik-baik ajer. Sedih dengar mereka mengerang sakit,” tambah beliau.

Terdahulu beliau berkata, Ebit dan pasukannya dalam perjalanan pulang daripada Pulau Pinang membantu sekeluargayang telah tinggal di kereta selama lapan bulan.-MalaysiaGazette