Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai supaya tidak menipu para petugas barisan hadapan dalam memberi maklumat status kesihatan masing-masing.

Dalam satu hantaran di laman Facebook, Dr Noor Hisham mengingatkan bahawa para petugas barisan hadapan kesihatan juga perlu dilindungi lantaran mereka juga mempunyai keluarga dan rakan-rakan.

“Jangan TIPU frontliners

“KAMI juga perlu dilindungi, kami ada keluarga, ada rakan2

“Jangan aniaya frontliners,” katanya.

Dr Noor Hisham merujuk luahan seorang doktor yang dijangkiti virus Covid-19 gara-gara sikap pesakit yang menyembunyikan status kesihatan apabila datang ke hospital.

Dr Nur Marini Zainal berkongsi rasa kecewanya di laman Facebook kelmarin bagaimana pesakit berkenaan telah berbohong ketika menjalani saringan di pintu masuk jabatan sebelum menjalani pemeriksaan CT scan.

Katanya, pemeriksaan mendapati suhu pesakit berkenaan normal dan beliau mengaku sihat serta dibenarkan masuk.

“Saya merupakan doktor yang menyediakan pesakit ini untuk scan (penerangan prosedur, pemasangan IV branula dan sebagainya).

“Terkejutnya kami bila melihat gambar paru-parunya di CT sama seperti paru-paru pesakit Covid-19.

“Bila ditanya semula, akhirnya dia mengaku yang dia batuk dan demam selama seminggu, tetapi berasa sedikit sihat untuk datang ke temujanji CT.
Allahu..,” tulis doktor itu.

Beliau berkata, sikap tidak bertanggungjawab pesakit yang disahkan positif  Covid-19 selepas dua hari datang ke hospital ternyata telah menyusahkan orang lain.

“Pada mulanya saya dikategorikan sebagai kontak risiko rendah, sebab kedua-dua nya memakai surgical masks(bagi pesakit berisiko rendah), dan pesakit tidak batuk di hadapan saya.

”Cuma jarak tak dapat dielakkan kerana terpaksa menyediakan saluran IV untuknya sebelum CT scan. Masa kontak tidak lama, lebih kurang 5-15minit. Saya mengamalkan hand hygiene mengikut SOP sebab saya memang paranoid!” tulisnya lagi.

Walaupun diberitahu bahawa tiada kuarantin atau swab diperlukan buat masa sekarang namun disebabkan rasa kurang senang, Dr Marini mengambil keputusan untuk menjalani swab di hospital lain.

Beliau juga mengambil keputusan untuk menjalani kuarantin walaupun tidak bergejala namun sempat bekerja selama dua hari sebelum mengambil langkah tersebut.

“Keputusan swab mendapati saya positif.

“Saya MENANGIS semasa dapat tahu.. sebab

“…Sedih terpaksa terpisah dengan anak-anak dan suami..😢
…Risau terhadap keluarga dan rakan sekerja yang mungkin saya jangkiti..😖
“…Kecewa terhadap sikap pesakit saya.😔,” katanya. – MalaysiaGazette