KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah menawarkan diri untuk membentangkan gagasan cadangan ‘Grand Coalition’ atau gabungan besar pembangkang untuk diteliti dan dibahaskan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Timbalan Ketuanya, Taqiuddin Che Man berkata, pihaknya berharap perbahasan mengenai idea itu mampu menatijahkan keputusan yang tuntas, sekali gus mengukuhkan kedudukan pembangkang untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU- 15).
Pada masa sama, beliau menempelak kenyataan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ahmad Syukri Che Ab. Razak yang menyatakan idea gabungan besar sebagai idea pramatang.
“Kami menyatakan pendirian gabungan besar ini bukanlah idea baharu pembangkang dan formula terbaik dalam menghadapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Semalam, Ahmad Syukri dilaporkan berkata, grand coalition atau gabungan besar pembangkang sebagai idea yang pramatang kerana strategi itu sudah lama diamalkan dalam politik negara.
Beliau berkata, semua pihak memahami objektif gabungan itu yang membabitkan kesatuan pembangkang membentuk pertembungan dwi blok.
Menurut Taqiuddin yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pulai Sebatang, melalui Pidato Ketua Pemuda dan Pidato Presiden semalam, Pakatan Harapan (PH) sewajarnya memanfaatkan angka 108 yang dibuktikan dalam pengundian Belanjawan 2021 di Parlimen tempoh hari.
Katanya, dengan ditipu berkali-kali oleh Ahli Parlimen UMNO, maka langkah untuk meneroka idea gabungan besar itu sangat tepat pada masanya.
Jelas beliau lagi, platform terbaik dalam mengetengahkan idea grand coalition itu adalah mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.
“Sepertimana termaktub dalam Perlembagaan PH, Majlis Presiden PH adalah platform yang tertinggi dalam membuat keputusan mengenai hala tuju PH,” katanya. – MalaysiaGazette
















