Isu berkaitan ibadat haji yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu telah menimbulkan banyak spekulasi dari orang ramai.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Isu berkaitan ibadat haji yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu telah menimbulkan banyak spekulasi dari orang ramai.

Mesej dipercayai tular selepas Muzakarah Haji yang telah diadakan secara dalam talian (webinar) selama tiga hari bermula 21 Disember lalu.

Justeru Lembaga Tabung Haji (TH) juga menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan mana-mana maklumat berkaitan pelaksanaan ibadat haji 2021M/1442H.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Saleh Abdul Rahman berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang makluman rasmi berkaitan dengan urusan ibadat haji untuk tahun 2021M/1442H dari pihak berkuasa Arab Saudi.

Beliau turut memaklumkan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan pengurusan kanan TH dijangka akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Haji Arab Saudi dan Menteri Agama Arab Saudi pada awal tahun depan.

Menurutnya, TH akan mengumumkan keputusan perbincangan dan kesepakatan yang akan diambil oleh pemimpin kedua-dua negara berkaitan dengan ibadat haji selepas itu. – MalaysiaGazette