Sebuah kereta rosak akibat ditimpa runtuhan batu di Sisak. foto Reuters

KUALA LUMPUR – Tiada rakyat Malaysia yang berdaftar tinggal di pusat gempa bumi di Petrinja, sebuah bandar kira-kira 60 kilometer dari ibu negara Croatia, Zagreb.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini menyatakan bahawa, Kedutaan Besar Malaysia di Zagreb telah berjaya menghubungi rakyat Malaysia yang tinggal di Zagreb dan tiada yang dilaporkan berada dalam bahaya.

“Kementerian Luar sedang memantau perkembangan selepas gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter semalam di Petrinja.

“Kementerian ingin menyampaikan rasa simpati dan takziah kerajaan Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Croatia, khususnya mereka yang terkesan dengan bencana itu secara langsung. Malaysia bersama-sama dalam solidariti pada tempoh sukar ini,” menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia di Republik Croatia boleh menghubungi kedutaan untuk mendapatkan bantuan konsular melalui telefon di talian (+385-1-4834346 / +385-1-4834347); faks (+ 385-1-4834348); atau e-mel di [email protected].

Menurut Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean (EMSC), gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter menggegarkan Petrinja pada 12.19 tengah hari waktu tempatan (1119 GMT), Selasa.

Agensi berita Xinhua melaporkan polis tempatan mengesahkan lima orang terbunuh dalam kejadian gempa bumi di Petrinja.- BERNAMA