Penerima AGU 2019 (memegang trofi) bergambar bersama dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTeM, Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengiktiraf bakat dan pencapaian mahasiswanya yang dikenali sebagai TUAH UTeM menerusi Majlis Anugerah Gemilang Universiti (AGU) 2019 yang diadakan pada Rabu lalu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTeM, Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata, AGU merupakan usaha pengurusan universiti itu mengiktiraf dan menghargai mahasiswanya yang telah bergiat aktif, mencapai kejayaan serta mengharumkan nama UTeM dalam aktiviti kokurikulum dan sukan di peringkat nasional dan global.

Jelasnya, ia bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar dalam bidang akademik tetapi dalam aspek kepimpinan, sukan, kebudayaan, kesukarelawan, inovasi, keusahawanan dan pengucapan awam.

Pada majlis tersebut, anugerah pemimpin organisasi terbaik menjadi milik Muhammad Isa Ishak yang mewakili FETSA dan anugerah olahragawan UTeM pula dimenangi oleh Hamdanwahid Rinaldi yang telah mencapai banyak kemenangan menerusi sukan taekwando pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Sementara itu, anugerah olahragawati UTeM dimenangi Anis Amira Basri menerusia sukan petanque manakala anugerah kelab atau persatuan terbaik pula dimenangi Kelab Fasilitator Sahabat Siswa (FaSaSi).

Di samping itu, AGU 2019 turut mengiktiraf pencapaian kepimpinan individu menerusi anugerah pemimpin program keusahawanan terbaik, pemimpin program kesukarelawan terbaik, pemimpin program sains teknologi dan inovasi terbaik, pemimpin program pembangunan sahsiah/intelek terbaik dan pemimpin program sukan terbaik.

Kategori lain yang turut diberikan pengiktirafan adalah kategori kepimpinan pasukan menerusi tujuh anugerah selain penganugerahan khas juri.

Kesemua penerima anugerah membawa pulang wang tunai, sijil dan trofi. – MalaysiaGazette