KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat Tahun Baharu 2021 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Baginda berdua turut mengambil kesempatan menzahirkan rasa syukur kerana Malaysia sentiasa dirahmati nikmat keamanan dan perpaduan meskipun tahun 2020 dilanda pelbagai ujian.

Penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia dan negara sejak awal tahun ini telah memaksa rakyat menjalani kehidupan harian di luar kebiasaan dalam pelbagai aspek, malah mengancam keselamatan diri dan menjejaskan kesejahteraan ekonomi negara serta sosio ekonomi rakyat.

Baginda berdua juga prihatin nasib rakyat dan turut sama merasakan keperitan hidup rakyat terutama golongan yang kehilangan orang tersayang mahupun punca pendapatan akibat penularan wabak Covid-19 ini, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Sehubungan itu, baginda menzahirkan harapan agar rakyat terus bersabar dan cekal dalam mengharungi dugaan ini dan sentiasa berdoa supaya musibah yang menimpa pulih seperti sedia kala.

”Semoga dengan kehadiran vaksin Covid-19 pada awal tahun hadapan nanti akan dapat membantu melandaikan keluk pandemik dan memutuskan transmisi virus yang melanda negara,” titah baginda.

Menzahirkan rasa kegusaran terhadap kenaikan mendadak kes positif harian Covid-19, baginda berdua menasihati rakyat sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan serta keluarga dengan disiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda berdua sentiasa inginkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat jelata terpelihara dan ini amat bergantung kepada kestabilan politik dan pentadbiran negara,” katanya.

Bagi mengekalkan kestabilan itu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri sekali lagi menasihati semua pihak, khususnya ahli-ahli politik supaya mengurangkan agenda dan ketegangan politik dengan bersama-sama berganding bahu dan memberi tumpuan membela kebajikan rakyat serta mengutamakan proses pemulihan ekonomi negara.

“Seharusnya, kita semua perlu sentiasa bermuhasabah untuk mengambil iktibar serta teladan daripada peristiwa dan cabaran yang telah dilalui pada tahun lalu untuk memperbaiki diri, keluarga, komuniti dan negara secara keseluruhannya,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga berdoa agar keamanan dalam negara dapat dikekalkan serta keharmonian hubungan antara kaum, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat yang sentiasa berpegang pada prinsip rukun negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

“Allah SWT sentiasa membantu orang-orang yang berusaha, dengan semangat perpaduan dan daya tahan yang jitu kita mampu bersama menghadapi segala cabaran dan ujian.

“Semoga tahun 2021 dikurniakan oleh Allah SWT dengan keadaan lebih baik berbanding tahun-tahun yang lalu,” titah Seri Paduka.

Baginda berdua juga mengajak seluruh rakyat bersama-sama mendoakan negara sentiasa dilindungi daripada segala bentuk ancaman serta dikurniakan perpaduan dan kemakmuran berkekalan.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri turut mendoakan pemerintah, pemimpin dan rakyat di negara ini terus dirahmati dan diberkati Allah SWT. – MalaysiaGazette

Zakat LZS