Petugas Air Selangor melakukan kerja-kerja pengalihan paip sementara yang terputus susulan tanah runtuh di Damansara Utama..

KUALA LUMPUR – Kerja pengalihan paip sementara yang terputus susulan tanah runtuh di Damansara Utama sejak pukul 12.30 malam tadi dijangka siap sepenuhnya pukul 10 pagi hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, kerja pembaikan itu mengalami kelewatan selama empat jam seperti yang dijadualkan disebabkan masalah teknikal dan aspek keselamatan di tapak.

“Bekalan air akan diagihkan setelah kerja pengalihan paip sementara ini siap.

“Pengguna boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui lori tangki yang digerakkan ke kawasan terlibat atau tangki statik yang diletakkan di pusat khidmat setempat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Untuk perkembangan kerja pembaikan, layari laman sesawang http://www.airselangor.com atau rujuk saluran komunikasi melalui Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300. – MalaysiaGazette