Thursday, April 25, 2024
Home Utama Gagal capai persetujuan, projek HSR batal

Gagal capai persetujuan, projek HSR batal

Pembatalan rancangan pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura oleh kerajaan Pakatan Harapan telah mencetuskan perdebatan hangat.
Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura memutuskan untuk membatalkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir semalam.

Dalam kenyataan bersama Malaysia-Singapura hari ini memaklumkan kedua-dua negara akan mematuhi syarat masing-masing dan melakukan tindakan yang diperlukan akibat penamatan perjanjian projek HSR.

“Susulan kesan pandemik COVID-19 terhadap ekonomi Malaysia, kerajaan Malaysia telah mencadangkan beberapa perubahan pada Projek HSR.
“Kedua-dua kerajaan telah melakukan beberapa perbincangan mengenai perubahan ini namun gagal mencapai kata sepakat,” demikian menurut kenyataan bersama itu.
Kenyataan itu masing-masing diwakili Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Dalam perkembangan sama, kedua-dua negara menegaskan akan tetap komited menjaga hubungan dua dan bekerjasama erat dalam pelbagai bidang, termasuk memperkukuhkan hubungan di antara kedua-dua negara.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia dikehendaki membayar kos penangguhan sebanyak S$15 juta (RM45.1 juta) kepada Singapura susulan penangguhan projek berkenaan.
Projek sepanjang 335 kilometer yang setujui dibina pada 2013 itu menghubungkan terminal Bandar Malaysia di Kuala Lumpur dengan terminal Jurung East, Singapura dengan kelajuan tren 320 kilometer sejam.

Kedua-dua buah negara memeterai perjanjian dua hala projek itu di Putrajaya pada 2016.

Bagaimanapun projek tersebut digantung atas permintaan Malaysia berikutan perubahan kerajaan pada Mei 2018.

Lanjutan perjanjian itu dilakukan untuk tempoh selama dua tahun yang berakhir September 2018 dan dilanjutkan untuk kali kedua yang berakhir tengah malam tadi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Shukur alhamdulillah . Batal adalah lebih baik . Lain kali bole buat sendiri dari perlis ke johor baharu.

Comments are closed.