Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan sembilan kluster baru telah dikenal pasti hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham kesemua kluster itu dikesan di lapan negeri.

Kluster pertama adalah Kluster Harum yang dikesan di daerah Johor Bahru.

“Sehingga 2 Januari 2021, sejumlah 435 individu telah disaring, di mana 206 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan hari ini.

Kedua adalah Kluster Tapak Bina Casuarina yang berlaku di tempat kerja di daerah Sepang dan Petaling Jaya.

Kluster ini menjangkiti 53 kes.

Turut di kesan di Selangor adalah Kluster Renggam yang turut melibatkan daerah Petaling, Sepang dan Klang di negeri Selangor.

Sejumlah 1,000 individu telah disaring dalam kluster ini di mana 20 kes telah dikesan positif Covid-19.

Kluster keempat ialah Kluster Baru Lapan dikesan di daerah Tambunan, Ranau dan Kota Belud di Sabah.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-101, 678) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 26 Disember 2020 melalui saringan kontak rapat. Sehingga 2 Januari 2021, sejumlah 341 individu telah disaring, di mana 52 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” kata Noor Hisham.

Kluster Jalan BBN dikesan di daerah Seremban di Negeri Sembilan melibatkan 27 kes positif Covid-19, sementara Kluster Dewani dikesan di daerah Johor Bahru di Johor.

Kluster ini menjangkiti 25 individu daripada 147 yang telah disaring.

Tiga lagi kluster dikesan di Kelantan, Terengganu dan Sarawak.

Kluster Belukar melibatkan daerah Machang dengan 17 kes positif Covid-19 dikesan di Kelantan sementara Kluster Kolam Permai dikesan di Kuala Terengganu dengan sembilan kes positif Covid-19 di negeri itu.

Kluster terakhir dikesan di daerah Meradong dan Sibu di Sarawak.

Kluster Mador ini dikesan setelah 322 individu telah disaring, di mana lapan (8) kes telah dikesan positif Covid-19. – MalaysiaGazette