foto: Bomba

TAPAH – Seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun mati lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Jerong Bikam, Sungkai di sini pada pukul 10.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian, mangsa Muhamad Amsyar Mohd Zamri bersama dua adiknya dan seorang sepupu berumur antara lima tahun hingga 11 tahun sedang bermain air di sungai itu dalam keadaan hujan lebat.

“Kanak kanak tersebut mula bermain kira-kira pukul 10.30 pagi tanpa pengetahuan keluarga dan apabila mangsa terjatuh ke dalam sungai, tiga yang lain telah berlari memberitahu ibu mereka di rumah yang jaraknya lebih kurang 200 meter dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, sejurus selepas itu, operasi mencari telah dilakukan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis serta penduduk kampung.

Katanya, mangsa berjaya ditemukan kira-kira pukul 11.30 pagi pada jarak 15 meter dari tempat terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia dan mayat dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Menurut Wan Azharuddin mangsa bersama keluarga dari Felda Besout 2, Sungkai berkunjung ke rumah saudaranya di Kampung Bikam semalam dan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Bernama