Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Kerajaan Malaysia kepada Singapura susulan pembatalan projek kereta api laju (HSR) masih belum dimuktamadkan lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pampasan tersebut bukanlah bersifat punitif tetapi membabitkan pembayaran semula kos tertentu projek yang telah dibelanjakan oleh Singapura.

”Pihak kita sedang menunggu butiran kos tersebut daripada Singapura dan sebaik sahaja diterima, ia akan diteliti sebelum disahkan. Jenis-jenis tuntutan yang dibenarkan telahpun dipersetujui bersama.

Namun begitu, jumlah pampasan tidak boleh didedahkan kerana di bawah perjanjian dua hala, kedua-dua negara terikat dengan klausa kerahsiaan.

“Walau bagaimanapun, saya dan pasukan akan berbincang dengan pihak Singapura untuk mendapat persetujuan bagi berkongsi maklumat mengenai jumlah pampasan tersebut setelah ia dimuktamadkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Oleh itu, katanya, jika wujud sebarang angka mengenai pampasan projek berkenaan disebutkan oleh mana-mana pihak, ia merupakan spekulasi semata-mata.

Mengulas lanjut mengenai penamatan projek berkenaan, Mustapa berkata, projek ini telah ditangguhkan pada Mei 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berikutan kajian semula terhadap beberapa komitmen pelaburan utama kerajaan.

Kerajaan ketika itu telah mengkaji semula pelaksanaan kesemua projek mega seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Malaysia Vision Valley dan MRT3.

Kemunculan pandemik koronavirus memaksa kerajaan mencari jalan untuk mengurangkan kos beberapa projek mega serta mengenal pasti strategi bagi memulihkan ekonomi pasca Covid-19.

Perkembangan itu menyebabkan syarat asal perjanjian dua hala yang dimeterai pada tahun 2016, tidak lagi berdaya maju bagi Malaysia, ujarnya.

”Kita terpaksa meneliti semula keseluruhan struktur projek dan model perniagaan yang termaktub dalam perjanjian tersebut.

”Pada bulan Mei 2020, pihak Singapura telah bersetuju untuk memberikan penangguhan terakhir bagi melaksana projek ini sehingga akhir tahun 2020. Kita telah menggunakan ruang ini untuk mengkaji semula keseluruhan projek ini. Kajian itu termasuklah struktur projek, model perniagaan, reka bentuk infrastruktur dan sistem.

”Hasil daripada kajian semula yang dijalankan, kita telah mencadangkan struktur baharu yang pada pandangan Malaysia bukan sahaja lebih kemas, malah model HSR yang dicadangkan itu digunakan secara meluas di seluruh dunia, antaranya di Eropah, United Kingdom, Jepun dan Korea Selatan.

”Cadangan struktur projek baharu itu juga mengelakkan kerajaan daripada memberikan jaminan berjumlah RM60 bilion selama 30 tahun. ‘Selain daripada itu, kita juga telah mencadangkan beberapa perubahan lain termasuklah perubahan jajaran dan reka bentuk stesen yang kesemuanya akan mengurangkan perbelanjaan kira-kira 30%,” ujar beliau lagi.

Mustapa berkata, kesemua cadangan itu dapat mengurangkan kos dan pada masa yang sama mengekalkan faedah projek, selain pertimbangan memulakan pembinaan projek ini dua tahun lebih awal bagi membantu dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia pasca Covid-19 khususnya sektor pembinaan.

”Ini mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi serta peluang perniagaan kepada perusahaan kecil, sederhana dan berskala besar pada waktu yang genting ini.

“Kerajaan juga mencadangkan perubahan yang akan membolehkan HSR dihubungkan dan diintegrasi dengan rangkaian pengangkutan Malaysia sedia ada dengan lebih berkesan,” tambahnya.

Beliau berkata, beberapa perbincangan yang intensif pada peringkat teknikal dan peringkat menteri telah diadakan sepanjang enam bulan yang lalu, malah.

Perdana Menteri Malaysia dan Singapura juga telah mengadakan sidang video pada 2 Disember 2020 lalu, malangnya, gagal mencapai kata sepakat.

Jelasnya, walaupun perjanjian dua hala ini telah luput, Malaysia dan Singapura akan terus bekerjasama rapat dalam mengukuhkan integrasi rentas sempadan bagi memastikan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi yang mampan kedua-dua negara.

Kemungkinan untuk menghubungkan kedua-dua negara melalui kesalinghubungan berkelajuan tinggi pada masa hadapan akan terus diterokai satu masa nanti.

Mustapa turut menjawab mengenai spekulasi tentang projek keretapi laju Kuala Lumpur-Johor Bahru (KL-JB) bagi menggantikan HSR.

Katanya, kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci bagi menentukan hala tuju seterusnya tetapi pada masa ini, projek keretapi laju KL-JB hanyalah spekulasi.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ko ni dah lah kaki pembohong kpd pengundi Jeli..lagi nak bohong rakyat lagi..Menteri Pengangkutan Singapore dah dedahkan di parlimen dia bhwa salah satu sebab pembatalan ialah kerana korang enggan buat tender terbuka tp rundingan terus. Dan separutnya HSR sampai ke KL..korang stopkan kat KLIA..lepas tu suruh tukar train naik ERL yg slow tu…yg pasti tak de kena mengena dgn Covid19…musibat punya katak!

Comments are closed.