Keadaan kenderaan yang dinaiki lima sahabat selepas terjunam ke tebing Sungai Kampung Baru, Bentong semalam

KUALA LUMPUR – Lima sahabat nyaris maut selepas kenderaan yang dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam tebing jambatan di Sungai Kampung Baru, Bentong semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian pukul 6.45 petang semalam, kereta jenis Honda Jazz yang dinaiki lima sekawan berusia 17 hingga 28 tahun itu tidak dapat dikawal lalu ketika melalui satu selekoh.

Akibatnya, kenderaan terbabit terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke tebing jambatan di situ, katanya.

“Mereka dalam perjalanan dari Cameron Highland menuju ke Karak. Kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Bentong manakala kereta Honda Jazz mengalami kerosakan di bahagian hadapan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Zaiham berkata, kes disiasat di bawah seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ujarnya, polis meminta saksi yang melihat kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang memandu atau menunggang kenderaan supaya berhati-hati dan sentiasa berhemah dalam pemanduan ketika musim hujan. – MalaysiaGazette