Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

KUALA LUMPUR – Jangan cuba terlibat dalam apa-apa perbuatan yang mempromosi ideologi komunisme dan sosialisme.

Itu amaran Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay kepada orang ramai ekoran  restoran yang tular menggunakan gambar dan karikatur berunsur parti komunis di negeri tersebut baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang  ke atas mana-mana orang yang cuba terlibat dalam usaha membangkitkan semula sokongan ke atas parti komunis dalam apa jua bentuk dan keadaan sekalipun.

Katanya, bertindak atas maklumat restoran yang tular pada 3 Januari lalu, sepasukan polis Ibupejabat Polis Diraja Johor Bahru Selatan telah membuat pemeriksaan di sebuah restoran di Taman Mount Austin Johor Bahru.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati restoran tersebut telah berubah sama sekali dan tidak ada lagi imej-imej seperti mana diviralkan dalam media sosial dan kini dalam proses pengubahsuaian yang mana restoran tersebut dikenali sebagai Big Captain Stimboat.

“Hasil siasatan mendapati pemilik restoran berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun menjelaskan gambar yang diviralkan itu adalah berlaku pada tahun 2019.

“Siasatan polis juga mendapati bahawa isteri pemilik restoran itu adalah seorang warga China,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ayob Khan, sebelum ini premis itu telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan di atas kesalahan mempamerkan papan iklan perniagaan tidak mematuhi syarat.

Polis menjalankan siasatan di bawah peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara dua tahun dan denda, Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.

“Malah turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda RM50,000

“Polis Johor nasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan yang mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme yang boleh membangkitkan sokongan terhadap perjuangan parti komunis,” katanya.- MalaysiaGazette