Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap kepada media selepas perjumpaan Presiden UMNO bersama Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 05 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – UMNO menjelaskan, Tan Sri Annuar Musa tidak dipecat dari jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang dipegangnya sejak pertengahan Mac tahun lalu.

Sebaliknya, menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, mengikut peraturan beliau yang menyandang jawatan itu dari awal lagi.

“Biasanya Setiausaha Agung UMNO ini juga merupakan Setiausaha Agung BN, dan saya juga diberi tugas sebagai Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN).

“Dakwaan Annuar dipecat tidak benar. Dia tidak dipecat, dia digantikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program perjumpaan Ketua-ketua UMNO Bahagian dengan  Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Beberapa media hari ini melaporkan Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dipecat dari jawatan Setiausaha Agung BN berkuatkuasa serta merta oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada pertemuan itu, tengah hari ini.

Ditanya adakah penggantian itu disebabkan Annuar dilihat seperti pro kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ahmad Maslan enggan mengulas.

“Saya tak mahu ulas perkara itu. Presiden parti mengucapkan terima kasih kepada Annuar atas khidmat dan sumbangannya sepanjang memegang jawatan itu,” katanya. – MalaysiaGazette