Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,027 kes baharu positif Covid-19 menjadikan kes kes keseluruhan sebanyak 122,845 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 22,887 kes.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat sebanyak 16 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara  manakala penularan Covid-19 dalam negara adalah sebanyak 2,011 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor masih menjadi negeri yang mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 509 kes atau 25.1 peratus.

Jelas beliau, daripada jumlah ini, sebanyak 338 kes atau 66.4 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 428 kes  atau 21.1 peratus dan Sabah sebanyak 383 kes atau 18.9 peratus.

“Sebanyak 111 kes atau 5.5 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan atau 64 kes, Kluster Tembok Gajah (43 kes), Kluster Tembok Choh (2
kes), dan Kluster Penjara Kepayan sebanyak dua kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham menambah, sehingga kini, terdapat 123 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 52 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kata beliau, terdapat pertambahan lapan kes kematian pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid di Malaysia adalah sebanyak 509 kes atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Pada hari ini bilangan kes sembuh adalah sebanyak 1,221 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 99,449 kes atau 81.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette