KUALA LUMPUR – Dua unit rumah berkembar di Taman Gambang Damai, dilaporkan runtuh dan musnah 100 peratus dalam kejadian kira-kira pukul 3.23 pagi semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.40 pagi.

Setibanya di lokasi, 13 pegawai dan anggota mendapati dua buah rumah berkeluasan 40 kali 140 kaki tersebut telah musnah 100 peratus.

Komander operasi turut mengarahkan pemilik rumah berhampiran untuk berpindah ke tempat lebih selamat kerana terdapat unsur berbahaya.

Pusat gerakan operasi telah menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tindakan seterusnya.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette